Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Lebih 140 sukarelawan terdiri daripada ketua kampung, pelajar dari institusi pengajian tinggi, dan pelbagai organisasi bergabung tenaga untuk membersihkan Sungai Brunei di Kampong Ayer, hari ini.
Acara anjuran Green Brunei itu adalah sebahagian daripada Minggu Diplomasi Hijau Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN, yang merupakan kempen global yang dilancarkan oleh EU dan negara-negara anggotanya untuk memberikan inspirasi kepada tindakan untuk alam sekitar.
Sebanyak 165 beg plastik, seberat lebih 1,300 kilogram, berjaya dikumpulkan semasa acara itu dari pelbagai zon di Kampong Ayer, termasuk Kampung Sungai Siamas, Kampung Sungai Kebun, Pulau Berambang dan sekitar kawasan sungai.
Sampah yang dikumpul termasuk tayar, mesin basuh, sofa dan televisyen yang rosak.
Selain itu, para peserta turut bersaing untuk memenangi hadiah-hadiah menarik melalui kuiz dan pertandingan berdasarkan kategori-kategori seperti paling banyak sampah dikutip dengan bot, paling banyak dikumpulkan di dasar sungai dan yang terbaik meneka jumlah berat sampah.
Kempen pembersihan sungai ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pengasingan sampah dan menggalakkan perubahan tingkah laku jangka panjang di Brunei, menangani kadar kitar semula yang rendah di negara ini dan menyokong usaha mencapai sisa sifar.
Kuasa Usaha Perwakilan EU ke ASEAN, Radomir Jensky dalam ucapannya menekankan komitmen EU terhadap kelestarian alam sekitar dan kepentingan memelihara Kampong Ayer sebagai tapak warisan budaya dan semula jadi.
Beliau juga menggalakkan tindakan kolektif untuk melindungi ekosistem unik ini, memerangi perubahan iklim selain memberikan inspirasi kepada penjagaan alam sekitar masa hadapan di seluruh ASEAN dan EU.
Minggu Diplomasi Hijau EU-ASEAN 2024 menunjukkan komitmen EU untuk terus bekerjasama dengan ASEAN ke arah masa depan yang lebih hijau dan menggalakkan individu, komuniti dan organisasi untuk mengambil tindakan tegas pada masa hadapan untuk melindungi, memelihara dan memulihkan alam sekitar demi masa generasi akan datang.
Acara itu disokong oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Jabatan Kerja Raya (JKR); Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara serta Kementerian Pendidikan.