DAKAR, 30 OKT – Lebih 140 orang maut apabila sebuah bot yang membawa kira-kira 200 pendatang, dilaporkan karam di Senegal pada minggu lalu, menurut Pejabat Migrasi Antarabangsa (IOM).
IOM dalam satu kenyataan turut memaklumkan, ia adalah insiden bot karam yang terburuk pernah direkodkan pada tahun ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa Senegal memaklumkan sekurang-kurang 10 mangsa maut, manakala 60 lagi berjaya diselamatkan.
“Komuniti setempat memaklumkan kepada kami bahawa ada kira-kira 200 individu berada di atas kapal itu, yang bermakna sekurang-kurang 140 orang terkorban,” kata jurucakap IOM di Dakar, Aissatou Sy, kepada AFP.
Agensi itu juga menzahirkan perasaan sedih atas tragedi terbabit yang menyusuli insiden empat bot karam di Laut Mediterranean, minggu lalu, dan satu lagi kejadian di selat berkenaan.
“Kami menggesa kerajaan, rakan kongsi dan masyarakat antarabangsa supaya bersatu bagi mematahkan jaringan penyeludupan serta pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan terhadap golongan belia terdesak,” kata Ketua IOM di Senegal, Bakary Doumbia, dalam kenyataan itu. – AFP