BANDARAYA GAZA, 16 MAC – Lebih 150 rakyat Palestin telah dibunuh oleh Israel sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari tahun ini, termasuk 40 dalam tempoh dua minggu lepas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Pejabat Media Gaza kelmarin.
“Kami telah memerhatikan jenayah orang awam dalam beberapa minggu kebelakangan ini meningkat, menyasarkan individu yang mengumpul kayu api atau memeriksa rumah mereka, telah mati akibat tembakan tentera Israel,” menurut pejabat itu dalam kenyataan.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan udara Israel di Beit Lahia, utara Gaza, yang mengorbankan sembilan rakyat Palestin, termasuk wartawan dan pekerja bantuan kemanusiaan.
Menyifatkan serangan itu sebagai ‘genosid kejam’, Pejabat Media Gaza menuduh Israel meningkatkan pencerobohannya di tengah-tengah laporan peningkatan arahan ketenteraan daripada kepimpinan Israel.
Pejabat itu menolak justifikasi Israel, dengan menegaskan semua individu yang disasarkan adalah orang awam yang bekerja di kawasan perlindungan dan menjalankan dokumentasi media bagi sebuah organisasi amal.
Menurut pejabat itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mesti mengambil tindakan segera terhadap jenayah perang Israel, termasuk yang dilakukan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan beberapa mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Indonesia di utara Gaza susulan serangan itu.
Saksi berkata serangan udara berkenaan menyasarkan pasukan bantuan yang sedang mengagihkan khemah sementara kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat dibom Israel.
Pusat Perlindungan Wartawan Palestin turut mengesahkan tiga wartawan terbunuh dalam serangan itu ketika mereka sedang mendokumentasikan usaha bantuan kemanusiaan untuk mangsa yang terjejas akibat kempen ketenteraan Israel yang berterusan.
Serangan itu merupakan sebahagian daripada siri pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, walaupun gencatan senjata itu telah dimeterai hasil perantaraan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata, yang berlangsung selama enam minggu telah pun berakhir pada awal Mac. Bagaimanapun, Israel enggan meneruskan fasa kedua, yang dijangka melibatkan pertukaran tahanan selanjutnya dengan Hamas.
Netanyahu didakwa melengahkan rundingan apabila cuba melanjutkan tempoh pertukaran awal tanpa memenuhi komitmen ketenteraan dan kemanusiaan yang telah dipersetujui dalam perjanjian itu.
Hamas pula menegaskan komitmennya terhadap gencatan senjata dan menggesa pihak perantara memastikan Israel mematuhi perjanjian serta meneruskan rundingan. – Bernama/Anadolu
