SYDNEY, 19 FEB – Lebih 150 false killer whales ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia hari ini, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa tempatan.
Jabatan Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar Tasmania memaklumkan bahawa daripada 157 yang terdampar di kawasan barat laut pulau itu, 90 daripadanya masih hidup.
False killer whale atau nama saintifiknya pseudorca crassidens ialah spesies dalam keluarga ikan lumba-lumba (Delphinidae) yang boleh mencapai berat antara 500 kilogram hingga tiga tan serta panjang sehingga enam meter.
Pegawai Perkhidmatan Taman dan Hidupan Liar Tasmania, Brendon Clark berkata bahawa ini merupakan insiden pertama membabitkan spesies ikan terbabit dalam tempoh kira-kira 50 tahun.
“Kebanyakan kejadian yang hampir serupa biasanya melibatkan ikan paus pandu (pilot whale).
“Ketika ini, kami masih belum mengetahui punca kejadian,” katanya.
Pasukan hidupan liar berada di lokasi bagi menilai keadaan haiwan serta kemungkinan usaha menyelamat. – Bernama
