MUMBAI, 29 OKT – Polis India telah menahan dua orang hari ini selepas pertunjukan bunga api di sebuah kuil meletup sehingga menyebabkan kira-kira seratus orang terlantar di hospital, lapan daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Beratus-ratus orang berkumpul di sekitar sebuah kuil Hindu di Nileshwaram di negeri selatan Kerala kelmarin untuk menonton pertunjukan bunga api, menurut siaran video oleh akhbar India.
Kemudian, dari dalam bangunan, kedengaran bunyi gemuruh, sebelum bola api yang kuat menjulang tinggi ke langit.
“Kira-kira lapan orang kritikal, dan kira-kira 154 telah dilaporkan cedera, di mana 97 orang dimasukkan ke hospital,” kata ketua polis tempatan, Shilpa Dyavaiah, kepada AFP.
“Mereka meletupkan bunga api berdekatan dengan tempat mercu itu disimpan,” kata Dyavaiah.
Laporan media India, memetik pegawai sebagai berkata, kebakaran itu telah menyebabkan muka dan tangan mereka melecur semasa berada dalam keadaan bersesak.
Pegawai kerajaan tempatan, K Inbasekhar berkata tiada kebenaran diberikan untuk pertunjukan bunga api itu.
Presiden dan setiausaha kuil telah ditahan, lapor akhbar The Hindu. – AFP