Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lebih 1,500 warga Indonesia solat Sunat Aidilfitri di kediaman KBRI

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Lebih 1,500 orang warga Indonesia hadir untuk bersama-sama menunaikan solat Sunat Aidilfitri berjemaah di perkarangan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Negara Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Pada majlis berkenaan, gema takbir berkumandang di halaman kedutaan yang dipimpin oleh Rustam Harahap dan diikuti dengan seluruh jemaah yang hadir dan kemudian solat berjemaah yang diimamkan oleh Minfahdillah Abdul Hamid dan Guru Besar Fakulti Usuluddin, UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, Profesor Dr Media Zainul Bahri sebagai khatib.

    Selepas menunaikan solat Sunat Aidilfitri, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Achmad Ubaedillah dalam ucapannya pada majlis berkenaan berkata, “Alhamdulillah, solat Aidilfitri di KBRI Bandar Seri Begawan berlangsung dengan tertib dan khusyuk. Mudah-mudahan solat berjemaah di ruang terbuka seperti ini boleh sedikit mengubati rasa rindu teman-teman WNI akan suasana lebaran di tanah air.”

    Sementara itu, Profesor Dr Media Zainul Bahri dalam khutbahnya, mengajak jemaah yang hadir untuk memanfaatkan saat lebaran itu bagi memperkuat dan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

    Secara fizikal, ulasnya, puasa dapat membuat tubuh manusia menjadi lemah dan resesif namun hal itu diimbangi dengan menguatkan rohani dan kebatinan yang membuat kita menjadi lebih peka dan lebih memiliki rasa empati dan simpati.

    Suasana lebaran yang dihiasi dengan saling memaafkan dan menyambung tali kasih silaturahim, setentunya dapat memperkuat ukhuwah Islamiah atau persaudaraan antara sesama umat Islam.

    Lebih dalam lagi kita perlu memupuk rasa toleransi dan bertanggungjawab supaya kita boleh mempererat ukhuwah wathaniyah atau persaudaraan antara anak bangsa.

    Antara warga Indonesia yang menghadiri majlis solat Sunat Aidilfitri berjemaah di perkarangan KBRI, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KBRI DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...