Lebih 15,000 dikurnia daging korban

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pada tahun ini, sekali lagi berkenan melaksanakan ibadah korban bagi Baginda berdua berserta kerabat diraja.

Majlis berlangsung sejurus selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pagi tadi, dengan sebanyak 190 ekor binatang termasuk 176 ekor sapi, 14 ekor kambing akan dikorbankan dan sebahagian daging korban sunat itu akan diagihkan kepada sejumlah 15,357 asnar fakir dan miskin serta tanggungan, 789 ibu tunggal dan 507 warga emas di seluruh negara.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan penyembelihan seekor kambing.

Manakala itu penyembelihan binatang-binatang korban Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda yang selebihnya disempurnakan di Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd, Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan, di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong dan Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak di Lot G, Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan menyempurnakan penyembelihan seekor kambing korban pada majlis yang diadakan di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah sejurus selepas menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ketika berkenan berangkat ke majlis ibadah korban di perkarangan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.