LABUAN, 18 OGOS – Sebanyak 15,809 koperasi di seluruh Malaysia telah berdaftar dengan jumlah keahlian 7.2 juta orang setakat 31 Disember tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata koperasi berkenaan mencatatkan modal saham dan bayaran sebanyak RM17.4 bilion dengan jumlah aset terkumpul RM165.8 bilion dan hasil keseluruhan berjumlah RM64.5 bilion.
Ewon berkata di Sabah sahaja, terdapat 1,798 koperasi berdaftar setakat 31 Disember 2023, dengan keahlian sebanyak 369,619 orang dengan hasil berjumlah RM677.8 juta tahun lepas.
“Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sumber manusia, selain memastikan kemampanan pergerakan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pada Mac 2023.
“Universiti berkenaan menawarkan program diploma, sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), di bawah kepimpinan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), UKKM diharapkan akan mengubah dan meningkatkan landskap koperasi di Malaysia, menjadikannya lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra KUSKOP Bersempena Memasyarakatkan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan Labuan 2024 hari ini.
Ewon berkata UKKM dijangka memainkan peranan penting dalam membangunkan siswazah yang cekap, profesional dan berdaya usahawan dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran daripada agensi KUSKOP yang lain. – Bernama