Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 15,800 pesakit di Gaza perlu pemindahan perubatan segera

    LONDON, 28 OGOS – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata lebih 15,800 pesakit di Gaza kini memerlukan pemindahan perubatan, lapor agensi Anadolu.
     
    Dalam satu hantaran di platform X, Tedros berkongsi maklumat mengenai pemindahan perubatan dari Gaza, yang kini berdepan serangan hebat Israel dan kekurangan bekalan.
     
    “Pagi tadi, WHO telah memindahkan 18 kanak-kanak dan seorang pesakit dewasa dari Gaza ke Jordan, bersama 62 orang pengiring. Sejak Oktober 2023, WHO telah membantu pemindahan perubatan untuk lebih 7,600 pesakit, termasuk 5,300 pesakit kanak-kanak,” katanya.
     
    “Namun, lebih 15,800 pesakit kritikal masih memerlukan rawatan khusus segera yang tidak boleh mereka terima di Gaza,” menurut Tedros.
     
    Beliau menyeru lebih banyak negara untuk menerima pesakit dari Gaza yang memerlukan rawatan kecemasan bagi membantu menyelamatkan nyawa dan menggesa laluan pemindahan perubatan ke Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, dipulihkan.
     
    “Ubat terbaik adalah keamanan,” tambahnya. – Bernama
     
    Penduduk Palestin berkumpul di luar hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 25 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda