Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Hampir 16,800 orang daripada 59 pasukan akan berbarisan di sepanjang jalan 3km mengalu-alukan istiadat perarakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki takhta pada 5 Oktober depan.
Penolong Pengarah Dasar dan Penyelarasan, di Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi berkata, setiap peserta diberikan bendera kecil negara untuk dikibarkan pada hari berkenaan.
Beliau mengongsikan perkara berkenaan semasa taklimat kemas kini upacara yang diadakan di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Taklimat berkenaan diadakan oleh jawatankuasa kerja yang mengurus penyertaan warga perkhidmatan awam, pertubuhan bukan kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung, organisasi belia, organisasi profesional, organisasi wanita, masyarakat yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam dan pihak-pihak lain di luar institusi pendidikan.
Ia merupakan susulan kepada pertemuan jawatankuasa berkenaan dengan ketua-ketua pasukan pada 9 September 2017 untuk mengemas kini persiapan terutama posisi kluster di sepanjang jalan yang diperuntukkan dan pengangkutan.
Dayang Zainab berkata, jawatankuasa tersebut menghargai sambutan golongan masyarakat dalam menyertai upacara itu nanti yang tidak syak lagi adalah simbol taat setia rakyat dan penduduk yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, raja yang berjiwa rakyat, adil, saksama dan bijaksana.
Jawatankuasa jua menyeru ketua-ketua pasukan untuk menghulurkan segala kerjasama bagi merancang kehadiran dan kepulangan anggota masing-masing dengan selamat, menjaga ketertiban anggota di sepanjang upacara dan menyertai upacara dengan rasa syukur.
Jawatankuasa akan menghulurkan perkhidmatan yang terbaik semata-mata bagi memeriahkan upacara yang merupakan satu lagi detik sejarah gilang-gemilang yang akan menjadi ristaan generasi akan datang.
Perhimpunan lautan manusia pada hari berkenaan akan menjulang dan memperkukuh institusi beraja di samping mengekalkan identiti, budaya dan tradisi orang Brunei yang taat dan kasih akan rajanya.