Lebih 170 panggilan kebakaran hutan, rumput dilaporkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sebanyak 176 panggilan kebakaran hutan dan rumput telah diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP)bagi bulan Januari hingga Mei 2021 berbanding sebanyak 798 panggilan kebakaran hutan dan rumput bagi bulan Januari hingga April 2020.

Menurut kenyataan JBP, kebakaran hutan tanah gambut merupakan salah satu cabaran bagi anggota bomba untuk memadamkan kebakaran berskala besar yang sering berlaku di negara ini.

Ia juga dipercayai berpunca daripada kejadian alam yang mana kebakaran bermula daripada api bawah tanah dan daripada kecuaian manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat pembakaran terbuka dan ditinggalkan di kawasan- kawasan hutan demi kepentingan masing–masing.

Tambah kenyataan itu, Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan cuaca panas dan kering walaupun adanya hujan sepertimana maklumat yang diterima dari Bahagian Kaji Cuaca Brunei Darussalam.

Kejadian kebakaran hutan atau rumput semasa keadaan cuaca kering yang melanda negara kita pada masa ini, akan mendorong ke arah pencemaran kualiti udara, pembawa gejala penyakit dan memusnahkan kehijauan hutan di negara ini.

Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran hutan yang berlaku baru-baru ini.Sebanyak 176 panggilan kebakaran diterima oleh JBP dari Januari hingga Mei 2021. – Gambar serahan JBP

Akibat daripada itu juga, ianya akan menjejaskan dan menghalang penglihatan pengguna-pengguna jalan raya dan boleh membahayakan pengguna-pengguna jalanraya atau pengangkutan di sungai atau laut disebabkan oleh asap dan keadaan berjerebu daripada kebakaran hutan atau rumput.

Ketika keadaan cuaca yang tidak menentu terutama sekali semasa musim panas ini, JBP telahpun membuat kesiapsiagaan dengan membuat pemantauan menggunakan dron di tempat-tempat yang dikenal pasti mempunyai potensi berlakunya kebakaran hutan dan rumput di kawasan yang terjejas dengan lebih dekat untuk memudahkan operasi memadamkan kebakaran tersebut.

Sementara itu, JBP dalam kenyataannya juga menyatakan telah merekodkan sebanyak 3,904 panggilan bagi tahun 2020 dan 1,197 panggilan bagi tahun 2021 (Jan – 3 Mei) berkaitan dengan insiden gangguan binatang liar seperti ular, biawak dan buaya.

Jelasnya, diantara punca binatang-binatang liar ini berkemungkinan akan berada di tempat kejadian adalah disebabkan oleh kawasan yang tidak bersih dan tidak teratur, rumput atau lalang yang terlalu panjang boleh menjadi tempat tinggal binatang liar berkenaan dan binatang ternakan atau peliharaan yang boleh menjadi sasaran binatang liar berkenaan.

Justeru, JBP ingin menasihati orang ramai agar sentiasa memastikan persekitaran rumah dalam keadaan bersih dan teratur, memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika tidak berada di rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar daripada masuk ke dalam rumah.