Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Lebih 18.5 juta kanak-kanak tercicir sekolah di Nigeria

    KANO, NIGERIA, 13 MEI – Lebih 18.5 juta kanak-kanak di Nigeria tidak mempunyai akses kepada pendidikan, dengan budak perempuan menyumbang lebih separuh daripada jumlah tersebut, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

    Ia merupakan peningkatan kes kanak-kanak tercicir dari sekolah di negara yang mempunyai paling ramai populasi di Afrika, yang diletakkan oleh UNICEF pada 10.5 juta tahun lalu.

    “Di Nigeria, terdapat 18.5 juta kanak-kanak tercicir, 60 peratus di antaranya adalah budak perempuan,” beritahu Rahama Farah, ketua pejabat UNICEF di bandar utara Kano, kepada wartawan tempatan baru-baru ini.

    Beliau berkata serangan ke atas sekolah di utara oleh kumpulan jihad dan geng penjenayah yang menculik untuk mendapatkan wang tebusan menyumbang kepada peningkatan tersebut.

    Tahun lalu, lelaki bersenjata menculik kira-kira 1,500 kanak-kanak sekolah, dengan 16 pelajar terbunuh, menurut UNICEF.

    Lebih 11,000 buah sekolah telah ditutup di Nigeria disebabkan keadaan tidak selamat sejak Disember 2020, kata UNICEF pada bulan lalu.

    Namun ibu bapa juga berasa takut untuk menghantar anak mereka ke sekolah, kata Farah.

    “Serangan berkenaan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang tidak selamat, justeru mendorong ibu bapa dan penjaga enggan menghantar anak mereka ke sekolah,” tambah Farah, menambah pelajar sendiri juga berasa takut untuk menghadiri kelas.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...