HELSINKI, 13 MAC – Hampir 200 gempa bumi melanda barat daya Iceland di Semenanjung Reykjanes sejak petang kelmarin, lapor Xinhua.
Pejabat Meteorologi Iceland (IMO) mengesahkan lebih 190 gegaran direkodkan sehingga malam, dengan tiga daripadanya melebihi 3.0 skala Richter.
Menurut pakar bencana alam IMO, Johanna Malen Skuladottir, kejadian gempa bumi seperti itu adalah perkara biasa di kawasan terbabit dan tidak dikaitkan dengan aktiviti gunung berapi.
“Gempa berkemungkinan berlaku akibat perubahan tekanan dalam lapisan bumi di Semenanjung Reykjanes, selari dengan kejadian gempa di kawasan ini sejak beberapa tahun kebelakangan,” katanya kepada Radio Iceland (RUV). Setakat ini, tiada laporan gegaran dirasai di kawasan berpenduduk, namun IMO akan terus memantau keadaan secara rapi.
Sejak 2023, lima rangkaian gempa bumi berlaku di lokasi yang sama, menurut pihak berkuasa meteorologi. – Bernama
