Lebih 190 tamat kuarantin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Lebih 190 lagi individu yang telah menjalani pengasingan diri mandatori di beberapa buah hotel di negara ini, telah menamatkan kuarantin mereka hari ini.

Individu berkenaan yang terdiri daripada warga tempatan dan asing itu tiba di negara ini pada 12 Ogos 2020 melalui laluan udara dan juga laluan darat, di mana mereka ditempatkan di hotel pengasingan diri yang diperuntukkan dan menjalani prosedur 14 hari mereka di bawah jagaan pegawai dari Kementerian Kesihatan, pegawai beruniform dan sukarelawan belia.

Antara mereka yang menamatkan kuarantin mereka hari ini terdiri daripada 49 orang dari Hotel Badiah, 45 orang dari Hotel Brunei, 28 orang dari Traders Inn, 20 orang dari Hotel Higher, 22 orang dari Hotel Starlodge, 15 orang dari The Empire Brunei, 12 orang dari Hotel Mulia serta beberapa orang lagi dari Hotel Parkview.

Para individu menjalani pengasingan diri dari hari pertama ketibaan mereka dan dibenarkan pulang pada hari ke-15, di mana mereka juga diminta untuk melakukan ujian swab pada hari kelima ketibaan mereka.

Sebahagian daripada mereka melakukan ujian swab di bilik yang diperuntukkan di hotel-hotel tempat mereka tinggal dan sesetengah lagi dibawa ke pusat ujian swab.

Dalam pada itu, pegawai dari Kementerian Kesihatan juga memberi nasihat kepada mereka untuk melakukan segala prosedur sebelum mereka bertemu dengan kaum keluarga.

Secara keseluruhan, semua individu berkenaan telah menjalani prosedur kuarantin dengan mematuhi segala arahan dan menghargai segala usaha yang dilakukan oleh semua pihak selama keberadaan mereka 15 hari dalam tempoh kuarantin berkenaan.

Individu yang telah menamatkan tempoh kuarantin mendaftar keluar dari salah sebuah hotel.