SINGAPURA, 2 MEI – Sebanyak 11 parti politik dan dua calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Singapura (PRU2025) akan mengetahui nasib mereka pada Sabtu malam, selepas sembilan hari berkempen dan hampir lima tahun persiapan sejak pilihan raya lepas.
Kini, lebih 2.75 juta pengundi akan menentukan sama ada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah akan sekali lagi memperoleh majoriti besar, atau jika parti pembangkang berjaya mencatat kejayaan lebih besar tahun ini.
Kempen pilihan raya berakhir pada tengah malam, memberi ruang kepada pengundi untuk menilai sebelum menentukan siapa yang layak menerima undi mereka.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata faktor penentu utama dalam pilihan raya kali ini adalah keadaan ekonomi, undi golongan muda serta respons parti terhadap skandal dan isu negara yang mendesak, ketika Lawrence Wong memimpin PAP buat kali pertama sebagai ketua parti.
Beliau berkata pengundi muda khususnya kini lebih kritikal dan lantang dalam meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Mujibu turut menyatakan bahawa pengendalian isu-isu berkaitan kaum minoriti juga boleh mempengaruhi sentimen dalam kalangan pengundi minoriti.
“Secara umum saya masih lagi melihat PAP ada peluang besar untuk kekal memerintah bagi penggal seterusnya tapi mungkin akan berlaku perubahan margin undi kerana kita sudah melihat trend ini berlaku pada PRU yang lepas,” katanya kepada Bernama.
Mujibu menjelaskan bahawa seperti yang dilihat di negara lain, sesebuah parti yang paling lama memegang kuasa boleh dianggap sebagai elitis dan sukar membawakan naratif baharu, terutamanya kepada pengundi muda.
Namun, beliau menambah bahawa pengalaman luas Wong dalam menguruskan ekonomi serta imejnya sebagai pemimpin bebas yang tidak terikat dengan legasi keluarga Lee boleh menawarkan kelebihan kepada PAP semasa peralihan generasi kepimpinan itu.
Keputusan PRU2025 akan menjadi detik penting bagi Singapura dalam peralihan kepimpinan generasi baharu. – Bernama