GENEVA, 26 OGOS – Lebih dua bilion penduduk di seluruh dunia masih kekurangan akses kepada air minuman yang diurus dengan selamat, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, memberi amaran bahawa kemajuan ke arah kesihatan sejagat tidak akan bergerak dengan pantas.
Agensi kesihatan dan kanak-kanak PBB berkata, satu daripada empat orang di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada air minuman yang diurus dengan selamat tahun lalu, yang mana lebih 100 juta orang masih bergantung kepada air permukaan bumi untuk diminum – contohnya dari sungai, kolam dan terusan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF berkata kekurangan akses terhadap perkhidmatan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) menyebabkan berbilion-bilion mengalami risiko lebih besar dijangkiti penyakit.
Mereka berkata dalam kajian bersama bahawa dunia masih jauh di landasan untuk mencapai sasaran mencapai kesihatan sejagat menjelang 2030.
Sebaliknya, mereka memberi amaran matlamat itu semakin berada di luar jangkauan.
“Air, sanitasi dan kebersihan bukanlah keistimewaan, tetapi ia adalah hak asasi manusia,” kata Ketua Alam Sekitar WHO, Ruediger Krech.
“Kita mesti mempercepatkan tindakan, terutamanya bagi masyarakat yang paling terpinggir,” tambahnya. – AFP


