MEKAH, 15 APRIL – Presidensi Umum bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci berjaya menawarkan perkhidmatan terbaik kepada lebih dua juta jemaah umrah dalam tempoh 10 hari pertama Ramadan.
Ketuanya, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, berkata pihaknya dapat menguruskan kehadiran lebih dua juta jemaah dengan lancar berkat usaha bersepadu dan penyepaduan perkhidmatan melalui penyertaan sektor khusus.
“Usaha ini telah membawa kepada penyediaan perkhidmatan terbaik yang mungkin untuk jemaah dan itu membantu mereka melaksanakan ibadah dengan mudah dan selesa dalam suasana rohani dengan aspek keselamatan,” katanya.
Menurut laporan daripada laman BH Online, Sheikh Al-Sudais berkata dua masjid suci menyaksikan kemasukan besar-besaran jemaah umrah, pelawat dan jemaah selama 10 hari pertama Ramadan selepas kerajaan Arab Saudi melonggarkan kebanyakan langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan COVID.
Presidensi dengan kerjasama agensi berkenaan terus berusaha menyediakan perkhidmatan bersepadu terbaik kepada jemaah umrah dan jemaah, selaras langkah berjaga-jaga kesihatan, lapor Saudi Gazette.
Sementara itu, dalam tempoh sama Arab News melaporkan lapan juta liter air zamzam diagihkan kepada pengunjung di Masjidilharam.
Ia diagihkan dalam tiga juta botol sekali guna, melalui 25,000 kontena di sekeliling masjid.
Ia termasuk 250 beg yang dibawa pekerja, 58 kereta pintar berkapasiti 80 liter setiap satu dan 33 kereta khas yang setiap satu memuatkan 100 botol di dalam kawasan mataf. – Agensi