Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan kawasan sekeliling mereka dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab untuk membersihkan sesuatu kawasan itu kepada pihak kerajaan semata-mata.
Kebersihan kawasan sekeliling termasuk taman-taman, kawasan bandar, tasik, pantai, laut dan juga sungai merupakan tanggungjawab semua rakyat dan penduduk di negara ini di mana mereka harus berganding bahu untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keindahan dan kebersihan negara.
Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk menjaga kebersihan negara terutama kawasan perairan sungai, lebih 20 orang ahli Persatuan Kayak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PKKNBD) yang diketuai oleh Presiden PKKNBD, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar menyertai kempen kebersihan Sungai Kedayan yang bermula di Jeti Darussalam, Taman Mahkota Jubli Emas, ibu negara, hari ini.
Menurut Setiausaha Agung PKKNBD, Mejar (B) Mohd Talip bin Haji Mohd Tahir, kempen kebersihan itu merupakan acara yang diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna termasuk ahli-ahli persatuan mengenai pentingnya untuk sama-sama memelihara dan menjaga kebersihan kawasan sungai negara.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P6-2A_061117.jpg)
“Sebagai pengguna adalah wajar juga kami terlibat dalam membersihkan Sungai Kedayan terutama di Taman Mahkota Jubli Emas yang mana ia merupakan sebuah taman indah yang mana kebersihan dan keadaannya yang selesa perlu dikekalkan agar menambah lagi kecantikan dan tarikan taman ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai acara itu, Mejar (B) Mohd Talip berkata ia bukan saja disertai ahli persatuan tetapi juga mahasiswa Universiti Brunei Darussalam terlibat sama dalam kegiatan kebersihan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, mereka memainkan peranan serta harus prihatin mengenai kebersihan kawasan sekeliling termasuk kawasan sungai.
Beliau menyatakan harapan supaya orang ramai selaku pengguna akan dapat sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan sekeliling termasuk sungai dengan mengamalkan kebersihan sebagai amalan kehidupan harian mereka.