Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 20 Julai – Lebih 20 orang anak yatim Kampung Sungai Liang telah diraikan pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang, di sini, malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di restoran salah seorang ahli MPK berkenaan ialah Penasihat MPK Sungai Liang, Dato Paduka Dr. Haji Mat Sunny bin Haji Mohd Hussein dan datin.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait yang juga selaku Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Ketua Kampung Lumut II, Haji Abdul Rahman bin Hashim serta lainnya.
Majlis tersebut merupakan projek tahunan MPK Sungai Liang yang antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan untuk membantu membahagiakan anak-anak yatim bersempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin DMS Dian dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan ahli-ahli MPK berkenaan sehingga terlaksana majlis dengan jayanya setiap tahun dan berharap majlis seperti itu akan dapat diteruskan dengan lebih meriahnya pada tahun-tahun akan dating.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma anak-anak yatim yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Menambah ceriakan lagi suasana majlis adalah beberapa persembahan nyanyian Hari Raya oleh ahli-ahli MPK seterusnya cabutan bertuah dan kuiz yang disediakan untuk anak-anak yatim yang diraikan.