BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Lebih 20 kakitangan Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei telah menyertai lebih 1,000 rakan sekerja lain dari cawangan StanChart di Hong Kong untuk bertanding dalam Sukan SC tahunan, baru-baru ini Sukan SC tahun ini dianjurkan oleh StanChart Hong Kong dan menyaksikan 12 cawangan dari negara lain selain Brunei menyertainya iaitu Malaysia, Singapura, China, Korea, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam dan pendatang baru Jepun. Kontinjen itu menyertai 18 sukan daripada boling, badminton, futsal, golf, larian, bot naga serta pickleball. Juara keseluruhan Sukan SC telah dimenangi oleh tuan rumah, Hong Kong. Tempat kedua dimenangi oleh Singapura dan Malaysia menduduki tempat ketiga.
StanChart Brunei membawa pulang empat pingat, dua emas dan satu gangsa dalam sukan boling serta satu gangsa dalam pickleball. Sukan SC berakhir dengan malam yang ajaib di Disneyland Hong Kong di mana taman itu ditutup khas untuk rakan sekerja StanChart yang menghadiri Sukan SC termasuk rakan sekerja dan ahli keluarga StanChart di Hong Kong.
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif StanChart Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim berkata, “Saya sangat berbangga dengan rakan sekerja kami yang telah berlatih dan komited untuk menyertai Sukan SC di Hong Kong tahun ini. Walaupun saya tidak dapat menyertai mereka kali ini untuk membantu membawa pulang lebih banyak pingat, semangat saya bersama mereka. Sukan SC merupakan pengalaman yang sangat unik untuk rakan sekerja kami di mana kami dapat bertemu dengan ramai rakan sekerja lain dari seluruh rantau ini sama ada bertemu dengan rakan baharu atau menjalin hubungan silaturahim. Sukan SC juga telah berkembang dengan penyertaan cawangan yang baharu menjadikannya lebih menarik setiap tahun.”
Sukan SC yang diperkenalkan pada tahun 1980an bermula antara StanChart Singapura dan Malaysia dengan beberapa sukan asas seperti bola keranjang dan bola sepak. StanChart Brunei menyertai pada tahun 2015 dan akhirnya lebih banyak cawangan dari negara lain mula menyertai Sukan SC yang kini diperluas.





