Monday, November 18, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20 produk Sarawak akan dipamer di MAHA

    KUCHING, 5 SEPT – Lebih 20 jenis produk Sarawak akan dibawa dan dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.

    Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata tahun ini, produk baharu negeri itu ialah varieti nanas Sarawak Gold (SG1) yang terkenal dengan kemanisan yang luar biasa.

    “Penghasilan varieti nanas SG1 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak untuk mempertingkatkan tawaran pertaniannya. Selain itu, varieti nanas MD2 dan nanas N36 juga turut akan dibawa ke MAHA 2024.

    “Antara lain ialah produk ikonik Sarawak iaitu Gula Apong yang terkenal dengan rasa dan kualitinya yang unik, ikan tilapia, ikan terubok yang kedua-duanya terkenal dengan kualiti dan rasanya,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke bangunan baharu Pertubuhan Peladangan Negeri Sarawak (PPNS) di Kota Samarahan, hari ini.

    Dr Rundi berkata pengunjung juga boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan termasuk nasi pulut, mi kolok dan laksa, yang merupakan sebahagian daripada identiti kuliner Sarawak.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata MAHA 2024 yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), menyasarkan 150 penyertaan syarikat dari seluruh dunia yang menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan. – Bernama

    Dr Stephen Rundi semasa membuat lawatan kerja di bangunan baru Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) pada 5 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda