Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 JUN – Lebih dari 20 rumah terjejas akibat banjir yang berlaku di kebanyakan kawasan di Ulu Belait, di mana hujan yang turun beberapa malam sehingga hari ini telah menyebabkan air menenggelami jalan raya dan laluan yang sekali gus menyebabkan kesukaran kepada penduduk untuk melakukan perjalanan.
Sehubungan itu, bagi meninjau keadaan tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong hari ini telah mengadakan lawatan di beberapa kawasan di Ulu Belait.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, lawatan tersebut merupakan kesinambungan kepada lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke kawasan terjejas banjir di Daerah Tutong kelmarin bersama pegawai-pegawai daerah selaku pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) yang bertindak sebagai penyelaras bersama di peringkat daerah.
Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Yang Berhormat Pehin telah mendengar penerangan dari Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, selaku pengerusi Jawatankuasa DDMC Belait mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir.
Sebelum meninjau ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir, Yang Berhormat Pehin telah mendengar penerangan daripada Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, selaku pengerusi Jawatankuasa DDMC Belait mengenai status terkini dan tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir.


Laporan banjir yang diterima sejak kelmarin hingga hari ini telah menjejaskan beberapa kawasan di Daerah Belait iaitu di Kampung Sungai Mau, Jalan Laid Lakang, Jalan Kandul, Kampung Merangking Hilir dan Kampung Sukang yang melibatkan sebanyak 23 buah rumah dan 105 orang penduduk kampung.
Jawatankuasa DDMC Belait telah membuat beberapa tindakan menghadapi banjir dengan memantau paras air setiap hari melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Operasi B, cawangan Belait.
Pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga telah mengedarkan bantuan catuan makanan kepada penduduk kampung yang terjejas bermula kelmarin dan pihak Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga membantu di dalam membekalkan keperluan-keperluan logistik seperti perahu dan temuai untuk kegunaan operasi dan juga bagi kemudahan pengangkutan orang kampung yang terjejas.
Hadir sama menyertai lawatan kerja tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap KHEDN, setiausaha tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap KHEDN, pegawai Daerah Belait, pemangku pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Bukit Sawat serta pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.