Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20 sertai Program Hafaz

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 30 Mac – Lebih 20 orang di kalangan kanak-kanak yang berusia tiga hingga 12 tahun telah menyertai Program Hafaz kepada Hafiz yang dianjurkan oleh Nadi Quranic Belait yang diadakan di pusat pembelajarannya di Jalan Maulana, di sini.

    Program tersebut telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Menghafaz Surah Al-A’la yang telah diadakan pada 19 Mac lalu di Masjid Zainab Lumut dan kategori kedua adalah Menghafaz Surah Al-Qariah.

    Pegawai Pemasaran Nadi Quranic Belait, Awangku Muhd Aiyad bin Pengiran Haji Idris semasa ditemui memberitahu, program berkenaan diadakan bersempena musim cuti persekolahan penggal pertama bagi mengisikan masa lapang kanak-kanak dengan aktiviti pembacaan Al-Quran.

    Sementara itu, Pegawai Pemasaran dan Kewangannya, Dayang Nursyazaizzah binti Morni menambah, program itu juga bertujuan menguji kebolehan membaca dan menghafal kalangan peserta kanak-kanak yang belajar di Nadi Quranic, yang sudah diajarkan menggunakan teknik ‘Neuronadi’, di mana kanak-kanak belajar sambil diberikan sedikit keseronokan tetapi tetap boleh menghafal Al-Quran selain mengajar mereka secara ilmiah dan rohaniah.

    Menurutnya, Nadi Quranic Belait telah ditubuhkan pada bulan Ogos 2017 di Jalan Kelumbi Kampung Lumut, dengan keramaian pelajar hanya kira-kira 30 orang, bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke atas dan orang dewasa dari 17 hingga 70 tahun.

    Para peserta Program  Hafaz kepada Hafiz dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan dibimbing oleh para tenaga pengajar.

    Kemudian, mereka membuka satu lagi cawangan di Jalan Maulana di sini dan setakat ini pelajar mereka sudah berjumlah hampir 200 orang.

    Dengan menggunakan empat orang tenaga pengajar, masing-masing merupakan graduan dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Universiti Al-Azhar Mesir dan pelajar daripada Pusat Pengajian Al-Quran Malaysia, selain beberapa orang pegawai bahagian pentadbiran seperti pengurus, operasi dan pentadbiran, pemasaran dan kewangan.

    Nadi Quranic Belait menawarkan empat jenis kelas iaitu Tamhid sesuai untuk mereka yang ingin mengenal huruf dan asas harkat dalam pembacaan Al-Quran, Kelas Tajweed sesuai untuk mereka yang ingin menguasai makhraj huruf dan mengenali hukum tajwid dalam Al-Quran dengan lebih mendalam dan keseluruhan.

    Kelas Hafazan pula sesuai untuk yang sudah pandai membaca Al-Quran dengan program menggunakan kaedah Neurophysiology yang memudahkan penghafalan dan Kelas Talaqqi sesuai untuk yang sudah mengetahui tajwid dan ingin menghalusi pembacaan Al-Quran dengan mengikuti guru.

    “Ianya ditubuhkan dengan hasrat untuk menambahkan generasi celik Al-Quran, demi menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir, selain mencapai visi syarikat ini untuk membina generasi Al-Quran yang unggul dan setiap pelajar menjadikan setiap detikan nadi berasaskan Al-Quran,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda