Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20 usahawan sertai IBA DARE

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Golongan muda tempatan kini sudah mula berani untuk keluar daripada zon selesa untuk menerokai bidang keusahawanan yang merupakan salah satu bidang kerjaya yang terus mendapat sokongan serta diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan.

    Usaha generasi muda ini terus diberi perhatian agar mereka mampu berdikari serta bersemangat kental untuk menghadapi pelbagai cabaran ke arah masa depan yang lebih cerah, berdaya saing dan makmur.

    Kecenderungan golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan berkenaan dapat disaksikan dengan lebih ramai belia berminat untuk menyertai program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan bukan sahaja oleh badan-badan kerajaan tetapi juga pihak swasta.

    Dalam menyahut seruan serta untuk menimba ilmu pengetahuan dan mengambil langkah proaktif dalam mengejar impian mereka untuk menjadi seorang usahawan, lebih 20 orang usahawan muda yang menyertai Modul Akademi Perniagaan Industri (IBA) Darussalam Enterprise (DARe) menyertai Bengkel Idea Bernas yang dikendalikan oleh LiveWIRE Brunei yang berlangsung di Auditorium iCentre, Anggerek Desa, hari ini.

    Bengkel dua hari itu merupakan bengkel pengenalan keusahawanan yang dikendalikan oleh LiveWIRE Brunei bagi meningkatkan dan memberikan pendedahan asas kepada para peserta yang berminat untuk menerokai dunia keusahawanan dan membuka perusahaan mereka sendiri.

    Para peserta bengkel berbincang semasa bengkel dua hari itu.
    Para peserta bengkel berbincang semasa bengkel dua hari itu.
    Awang Mohd Fadhilullah Tudun semasa mengendalikan bengkel berkenaan.
    Awang Mohd Fadhilullah Tudun semasa mengendalikan bengkel berkenaan.

    Menurut Kaunselor Perniagaan Kanan LiveWIRE Brunei dan pemudah cara bengkel berkenaan, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan, bengkel berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai pemikiran yang diperlukan untuk berjaya, mencari idea perniagaan yang bernas, membuat perancangan mengenai kos memulakan perniagaan, prosedur perundangan bagi memulakan perniagaan di Brunei serta pengurusan kewangan.

    Semasa bengkel itu, para peserta diberikan tunjuk ajar mengenai perkara yang perlu mereka buat untuk memulakan perniagaan termasuk mempunyai pemikiran untuk berjaya, mencari idea perniagaan yang terbaik bagi mereka, cara untuk memulakan perniagaan, kewangan peribadi, keselamatan dan alam sekitar serta latihan simulasi yang mengajar mereka mengenai aliran wang serta penyata untung dan rugi.

    Kursus anjuran DARe itu disertai oleh usahawan-usahawan baru dan muda yang terdiri daripada peserta-peserta kitaran pertama dan kedua bagi Program IBA di mana kursus berkenaan memberikan pendedahan kepada para peserta kepada model yang berguna bagi memulakan dan menjalankan perniagaan mereka.

    Pelaksanaan IBA merupakan usaha berterusan DARe bagi memperkasakan bidang keusahawanan tempatan dengan mengadakan pelbagai program untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan asas para usahawan tempatan supaya mereka mampu untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perusahaan mereka dengan lebih mapan.

    Program-program bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu dihasratkan untuk membangunkan lebih banyak perusahaan yang mapan serta mempunyai asas yang kukuh untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perusahaan berkenaan.

    Program IBA dibahagikan kepada tiga peringkat kematangan PKS iaitu IBA Peringkat 1 bagi PKS baru dan perusahaan mikro, IBA Peringkat 2 bagi PKS dan IBA Peringkat 3 bagi syarikat sudah lama ditubuhkan.

    Program yang dirangka itu menyediakan perusahaan tempatan dengan siri modul untuk lebih memahami elemen-elemen asas dalam putaran hidup perniagaan di mana mereka akan didedahkan kepada cara untuk merangka pelan perniagaan yang baik, struktur urus tadbir korporat yang baik, menguruskan kewangan dan mengenal pasti pasaran luar negara.

    Ia dihasratkan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran perusahaan mengikut peringkat kematangan yang berbeza daripada permulaan idea perniagaan, PKS hingga perusahaan lebih besar dalam pelbagai aspek perniagaan serta juga untuk berkongsi maklumat mengenai pelbagai peluang perniagaan dan sektor industri yang khusus.

    LiveWIRE Brunei merupakan program pembangunan kemasyarakatan bagi Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd sebagai usahanya dalam menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan lagi usaha kepada menyokong perkembangan keusahawanan di Brunei bagi memastikan pembangunan ekonomi negara jangka panjang yang mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda