Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 gempa susulan terus gegar Sulawesi

    JAKARTA, 30 Sept – Lebih 200 gempa susulan berterusan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa bermagnitud 7.5 skala Richter menggoncang Kota Palu dan Donggala pada Jumaat.

    Menurut data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, sebanyak 201 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 skala Richter dicatatkan berlaku sehingga 10 pagi ini. Keadaan itu menyukarkan lagi kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan dan rumah.

    Gempa bumi bermagnitud 7.5 skala Richter menggoncang Sulawesi Tengah pukul 5:02 petang Jumaat yang turut menyebabkan berlakunya tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala.

    Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata jumlah korban dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran.

    “Pasukan mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran berikutan kekangan akses komunikasi, bekalan elektrik dan akses jalan raya rosak teruk,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sutopo berkata usaha pendataan mangsa yang terkorban juga tidak dapat dikumpulkan dengan cepat akibat kekangan telekomunikasi dan akses jalan ke kawasan yang teruk akibat gempa dan tsunami itu.

    Beliau berkata lebih 30,000 penduduk Sulawesi Tengah kini berada di pusat-pusat pemindahan sementara, selain menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi.

    “Ramai penduduk berada di kawasan bukit berikutan trauma dengan gempa dan tsunami.

    “Mereka tidur di jalan raya. Mereka amat memerlukan bantuan bekalan air bersih, makanan, selimut dan ubat-ubatan,” katanya. Beliau berkata fokus pasukan penyelamat kini di Hotel Roa Roa setinggi lapan tingkat yang runtuh, pantai Palu, pantai Talise, dan Perumahan Balaroa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda