Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 kanak-kanak tadika keracunan plumbum di China

    BEIJING, 8 JULAI – Pengetua tadika ditahan selepas lebih 200 kanak-kanak di barat laut China jatuh sakit dengan potensi keracunan plumbun daripada kek kurma dan jagung gulung, kata media kerajaan hari ini.

    Anggota penyiasat mendapati paras plumbun ‘tidak normal’ dalam darah 233 kanak-kanak di Tadika Peixin di bandar Tianshui, menurut penyiar CCTV negeri.

    Daripada jumlah itu, 201 daripada kanak-kanak berkenaan sedang dirawat di hospital.

    Isu keselamatan makanan merupakan perkara biasa sebelum ini di China, di mana susu formula tercemar menyebabkan ratusan ribu anak damit jatuh sakit pada 2008 dan dikaitkan dengan enam kematian.

    Pihak berkuasa bandar menyiasat pengetua tadika minggu lalu selepas menerima laporan bahawa kanak-kanak jatuh sakit.

    Gambar Envato

    Seorang ibu berkata kepada tabloid Jimu News milik kerajaan minggu lalu bahawa kanak-kanak telah mengalami sakit perut dan loya, dan beberapa gigi mereka berubah menjadi hitam.

    Ujian mendedahkan sampel kek kurma kukus tiga warna dan jagung gulung mengandungi lebih 2,000 kali ganda piawaian keselamatan negara untuk bahan pencemar makanan.

    Kek kurma itu, yang dihidangkan semasa sarapan pagi, menunjukkan bacaan 1,052 miligram sekilogram sementara jagung gulung itu, yang dihidangkan pada waktu makan lain, menunjukkan 1,340 miligram sekilogram.

    Had untuk plumbun di seluruh negara dalam gandum dan kanji ialah 0.5 miligram sekilogram, menurut rekod kerajaan China.

    CCTV berkata rakaman keselamatan menunjukkan kakitangan dapur menambah pewarna kuning yang dibungkus ke dalam adunan tepung yang digunakan dalam kedua-dua hidangan tercemar.

    Pengetua tadika itu, bernama Zhu, dan seorang pelabur bernama Li telah ditahan bersama enam orang lain, kata CCTV. Dua lagi dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

    Penyiasat mendapati Zhu dan Li membenarkan kakitangan dapur menghasilkan makanan menggunakan pigmen cat yang dibeli dalam talian yang kemudiannya didapati mengandungi plumbun dan ditanda tidak boleh dimakan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda