Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 kes pampasan didaftarkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sebanyak 222 kes pampasan telah didaftarkan di Bahagian Pampasan, Jabatan Buruh pada 2020 dengan 190 daripadanya merupakan kes yang berkaitan dengan pekerjaan dan selebihnya tidak berkaitan dengan pekerjaan seperti penyakit semula jadi (strok, kencing manis, sakit jantung) dan kemalangan jalan raya selepas waktu bekerja.

    Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding pada 2019 yang mencatatkan 185 kes dengan 141 daripadanya berkaitan dengan pekerjaan dan pada 2018 yang mencatatkan 168 kes dengan 163 daripadanya berkaitan pekerjaan.

    Hasil daripada laporan berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh 2020-2019, berbanding dengan peningkatan 10.1 peratus semasa tempoh 2018-2019, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini.

    Kenyataan itu menekankan lagi salah satu bidang tugas Jabatan Buruh adalah untuk membuat penilaian sama ada pekerja berhak untuk mendapatkan pampasan daripada kecederaan atau kematian yang terjadi sewaktu jam bekerja dengan akta yang dirujuk adalah Akta Pampasan Pekerja 1957 (Pindaan 1984).

    Akta itu merupakan suatu akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang berkenaan dengan pembayaran pampasan kepada pekerja-pekerja ke-rana kecederaan yang dialaminya semasa mereka bekerja.

    Berdasarkan kepada akta berkenaan, pampasan hanya akan diberikan apabila kes kecederaan atau kematian tersebut terjadi semasa bekerja, perburuhan kasar, pendapatan gaji tidak melebihi $750 dan cuti sakit yang diberikan melebihi tiga hari.

    Pampasan tidak akan diberikan apabila kecederaan berlaku di bawah pengaruh minuman keras atau dadah, kecederaan yang tidak ada kaitan dengan pekerjaannya, cuti sakit yang diberikan kurang dari tiga hari, penyakit semula jadi dan mencederakan diri sendiri.

    Jabatan Buruh dalam kenyataannya lagi, menasihatkan majikan dan pekerja untuk mematuhi peraturan-peraturan keselamatan semasa waktu bekerja dan di luar waktu bekerja.

    Jika terjadi kes kecederaan atau kematian semasa waktu bekerja, majikan mestilah melaporkan seberapa segera ke Bahagian Pampasan di Jabatan Buruh sebelum berakhir 10 hari selepas berlakunya kejadian.

    Menurut Akta Pampasan Pekerja 1957 (Pindaan 1984), Bab 13 (1), tiap majikan hendaklah memberikan notis atau melaporkan secara bertulis kepada pesuruhjaya berlakunya sebarang kemalangan di tempat pekerjaan atau kes-kes penyakit pekerjaan.

    Di bawah Bab 13 (2), notis hendaklah diberikan dalam 10 hari dari berlakunya kemalangan dan menurut Bab 13 (4), mana-mana majikan yang gagal atau tidak melaporkan adalah melakukan kesalahan boleh didenda jika sabit kesalahan sebanyak $4,000.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Bahagian Pampasan, Jabatan Buruh menerusi talian 2383006 sambungan 2203, 2204 dan 2205 (semasa waktu bekerja) atau menghantar e-mel kepada pampasan@buruh.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda