AHMEDABAD, 19 JUN – Lebih 200 mangsa nahas pesawat Air India minggu lalu telah dikenal pasti melalui ujian DNA, menurut seorang pegawai hospital kelmarin, sekali gus menamatkan penantian lama saudara-mara.
Ahli keluarga yang berduka telah memberikan sampel DNA untuk membantu mengenal pasti para mangsa.
Pengarah perubatan hospital awam, Rakesh Joshi memberitahu wartawan, sehingga kelmarin, seramai 208 mangsa telah dikenal pasti.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terbakar dan meletup sejurus selepas berlepas dan saksi turut melaporkan melihat mayat yang telah rentung dan mayat berselerakan akibat insiden itu.
Pihak berkuasa India masih belum mengumumkan punca nahas dan pasukan penyiasat dari Britain serta Amerika Syarikat telah menyertai siasatan.
Pasukan penyiasat kini sedang berusaha mendapatkan maklumat penting daripada dua kotak hitam yang telah dijumpai di lokasi iaitu sebuah perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan.
Biro Penyiasatan Nahas Pesawat India telah menaik taraf sebuah makmal tahun ini bagi menganalisis kotak hitam tersebut.
Selepas insiden nahas itu, pengawal selia penerbangan awam telah mengarahkan pemeriksaan ke atas semua pesawat Dreamliner milik Air India.
Air India dalam kenyataan mereka kelmarin memaklumkan mereka juga akan ‘mempertingkatkan pemeriksaan keselamatan ke atas armada Boeing 777 milik mereka’, selain mengumumkan pemotongan 15 peratus penerbangan antarabangsa bagi pesawat berbadan lebar itu sehingga pertengahan Julai. – AFP
