Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 orang sertai Larian Malam Seria

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Lebih dari 200 peserta telah mengambil bahagian dalam Larian Malam Seria, yang bermula dan berakhir di Padang Arena Seria anjuran Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Mukim Seria dengan bekerjasama W&E D’Sisters Event Management and Services.

    Antara matlamat larian tersebut diadakan ialah untuk memberi kesedaran akan kepentingan cara hidup sihat dan memberi peluang kepada peserta larian untuk mengenali mercu tanda yang terdapat di Pekan Seria. Para peserta larian pada malam tersebut telah menghabiskan larian sejauh 3.5km melalui bahagian hadapan pantai Pekan Seria menuju Monumen Billionth Barrel, sebelum menghala balik ke lokasi permulaan.

    Acara larian tersebut turut dibahagikan kepada beberapa kategori berasingan iaitu kategori lelaki dan perempuan di mana peserta tempat pertama hingga kelapan mencatat masa terpantas telah menerima hadiah masing-masing.

    Hadiah turut diberikan kepada peserta yang memakai kostum paling bergaya semasa acara larian tersebut diadakan.

    Hadir untuk menyaksikan acara tersebut ialah Pemangku Penghulu Mukim Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, sebagai tetamu kehormat, dan Pemangku Ketua Kampung RPN Panaga, Awang Ariffin bin Abdullah.

    Acara bermula dengan sesi senamrobik diikuti dengan tetamu kehormat mengibarkan bendera sebagai tanda permulaan larian.

    Di akhir larian tersebut turut diadakan sesi menyejukkan badan kemudian diikuti dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dari kesemua kategori.

    Peserta Larian Malam Seria bersiap sedia sebelum larian sejauh 3.5km dimulakan yang diadakan di Padang Arena Seria.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda