Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 29 April – Antara isu yang masih menjadi menjadi permasalahan ialah pelajar kurang menguasai Bahasa Arab sekalipun mereka menuntut di peringkat menengah dan tinggi.
Oleh itu, kewujudan suasana kearaban sangat membantu ke arah penguasaan Bahasa Arab, termasuklah mengadakan aktiviti yang melazimkan penggunaannya secara konsisten. Dengan itu, pembelajaran Bahasa Arab sangat memerlukan kesabaran dan semangat yang tinggi dari pihak pelajar dan guru.
Perkara tersebut ditekankan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan Hadiah Pelajar Terbaik Ma’had Islam Brunei tahun 1438H/2017M semasa menyampaikan ucapan di Ma’had Islam Brunei, kelmarin.
Seramai 78 orang pelajar telah menerima Hadiah Pelajar Terbaik bagi tahun 1438H/2017M, kelmarin. Sementara 136 orang penuntut lagi telah menerima hadiah galakan bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Pencapaian Kemajuan Pelajar, Peperiksaan SPU dan BC-GCE ‘O’ Level yang telah diadakan baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah Pengajian Islam Institut Pengajian Jabatan Pengajian Islam, Haji Shamsol bin Haji Omar.

Menurut Pengetua Ma’had Islam Brunei, Pengiran Haji Asmadi bin Pengiran Haji Aliuddin semasa menyampaikan ucapan, tahun lepas Ma’had Islam Brunei telah mencapai keputusan yang sangat baik iaitu 100 peratus mendapat gred A hingga C dalam Peperiksaan PSR. Manakala dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), sekolah ini telah mencapai 85.9 peratus lulus dengan pencapaian Pangkat 4 hingga 8 kredit.
Haji Asmadi juga menjelaskan Ma’had Islam Brunei sentiasa memandang berat terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajarannya sejajar dengan visi, misi dan matlamat sekolah iaitu ‘Ke Arah Melahirkan Cendekiawan Muslim Sejati’ dan untuk mendukung Wawasan Brunei 2035.
Majlis penyampaian hadiah ini juga diadakan bagi memberikan penghargaan kepada penuntut yang mencapai keputusan cemerlang.