Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 200 rakyat Filipina mangsa penipuan mahu pulang

    MANILA, 26 OKT – Lebih 200 rakyat Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di pusat penipuan di Myawaddy, Myanmar memohon bantuan kerajaan Filipina untuk dibawa pulang, menurut Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) hari ini.

    Setakat Jumaat, DFA memaklumkan Kedutaan Filipina di Yangon menerima 222 ‘permohonan aktif’ bagi bantuan repatriasi daripada rakyat Filipina di kawasan yang dikenali sebagai pusat penipuan, dengan 66 daripadanya dilapor telah menyeberangi sempadan ke Thailand manakala sembilan lagi kini berada di Yangon di bawah jagaan kedutaan.

    “Kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar untuk memuktamadkan prosedur penghantaran pulang bagi mereka yang kini berada di kem tahanan dan memudahkan penyelamatan mereka yang masih berada di kawasan pusat penipuan,” menurut kenyataan DFA.

    Kedutaan Filipina juga terus memantau keadaan di Myawaddy susulan laporan yang mengesahkan operasi penguatkuasaan undang-undang di beberapa kompleks penipuan pada 20 Oktober.

    DFA berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Pekerja Migran (DMW) Filipina dan agensi berkaitan lain, serta komited memastikan kepulangan selamat semua rakyat terjejas melalui saluran antara kerajaan yang sah, di samping terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar dan Thailand untuk mempercepatkan proses itu.

    DFA turut menasihatkan semua rakyat Filipina supaya mematuhi prosedur pekerjaan luar negara yang ditetapkan oleh DMW sebelum berlepas ke luar negara bagi tujuan bekerja.

    Ramai rakyat Filipina masih terpedaya dengan tawaran kerja berpendapatan tinggi oleh sindiket penipuan di Myanmar, Laos dan Kemboja, meskipun amaran telah dikeluarkan oleh kerajaan. 

    Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ramai mangsa pada awalnya dijanjikan pekerjaan sah tetapi kemudiannya diculik dan dijual kepada operasi penipuan lain. PBB turut menyuarakan kebimbangan terhadap ribuan individu yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di rantau ini, menyifatkan keadaan itu telah, “mencapai tahap krisis kemanusiaan dan hak asasi manusia.” – Bernama

    Suasana sebuah pusat di pekan Myawaddy, Thailand yang dilaporkan terlibat dalam satu penipuan internet terbesar. 200 rakyat Filipina terlibat mahu pulang.  – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda