Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Untuk memberikan pemahaman dan kesedaran yang lebih mendalam mengenai sejarah dan isu Palestin, Kumpulan Belia Syababurroja, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah telah mengendalikan Forum Palestin bertajuk Palestine: The Promised Land yang diadakan di Dewan Serba guna Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin.
Lebih 200 orang awam daripada pelbagai peringkat umur menghadiri forum berkenaan yang berlangsung kira-kira dua jam.
Forum dipengerusikan oleh Awangku Muhammad Syafi’i bin Pengiran Haji Sofianini dan menampilkan ahli-ahli panel jemputan iaitu Penolong Profesor di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman dan penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Muzhaffar bin Haji Marsidi.
Antara perkara yang disentuh oleh ahli-ahli panel adalah kepen-tingan untuk mengkaji sejarah Islam dan sentiasa peka dengan keadaan masyarakat Islam seluruh dunia.
Forum juga mengingatkan untuk mensyukuri nikmat berada di Brunei Darussalam dengan bersama-sama berperanan menjaga keharmonian negara.