Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 1 Julai – Lebih 200 orang telah menyertai acara Nite Walk, sebagai pembukaan semula Program Kuala Belait Ku Ceria (KBKu Ceria) yang berlangsung di kawasan Jalan Sungai, di sini, malam tadi.
Acara tersebut turut disertai oleh Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad dan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Superintenden Haji Mohammad Azrie bin Haji Talip.
Para peserta terlebih dahulu memanaskan badan beramai-ramai dengan acara senamrobik sebelum memulakan perjalanan kira-kira 4 kilometer bermula di Jalan Sungai menuju Jalan Panglima, Jalan Maulana, melintasi Taman Jubli Perak kemudian menuju ke Jalan McKerron dan kembali ke kawasan Taman Persiaran Jalan Sungai.
Acara Nite Walk merupakan salah satu acara diadakan pada waktu malam yang terus mendapat sambutan ramai kalangan masyarakat di daerah ini.

Ia antara lain bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan silaturahim terutama sekali dalam kalangan peserta tanpa mengira golongan usia.
Dengan bertemakan suasana Hari Raya bagi bulan ini, program yang diadakan di kawasan Taman Jubli Perak, pagi tadi, mengetengahkan pelbagai acara menarik untuk kunjungan orang ramai bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi.
Di samping pelbagai acara menarik, Hari Raya KBKu Ceria juga dimeriahkan dengan gerai-gerai jualan makanan dan minuman, pakaian dan sebagainya, yang juga bertujuan untuk mempromosikan perniagaan para pengusaha kecil dan sederhana di daerah ini.