PHNOM PENH, 16 JULAI – Pihak berkuasa Kemboja telah menahan lebih 200 warga Vietnam dalam serbuan pusat penipuan dalam talian, kata polis hari ini, ketika Perdana Menteri Hun Manet mengarahkan tindakan keras ke atas pusat jenayah siber.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyifatkan Asia Tenggara sebagai ‘sifar asas’ pusat penipuan, di mana para pekerja biasanya menggunakan percintaan atau perniagaan untuk menipu pengguna media sosial yang dianggarkan AS$40 bilion setiap tahun.
Hun Manet mengeluarkan arahan kepada umum kelmarin, dengan berkata kepada penguatkuasa undang-undang dan tentera untuk mencegah dan membanteras penipuan dalam talian, di samping memberi amaran bahawa mereka berisiko kehilangan pekerjaan jika gagal mengambil tindakan.
Polis di ibu negara Phnom Penh berkata mereka menyerbu dua buah bangunan yang menempatkan suspek Isnin lalu dan kelmarin, menahan 149 warga Vietnam bersama tiga warga China dan 85 warga Kemboja.
Di bandar pesisir pantai Sihanoukville, serbuan yang dilakukan kelmarin di empat buah lokasi menyaksikan 63 warga Vietnam ditahan dan 54 komputer dirampas, menurut laporan polis yang dilihat AFP hari ini.
Ramai daripada mereka yang dibebaskan dari pusat penipuan Asia Tenggara mengatakan mereka diperdagangkan atau terpengaruh akibat janji palsu.
Penderaan di pusat penipuan Kemboja berlaku secara skala besar-besaran, menurut laporan yang diterbitkan bulan lalu oleh Amnesty International.
Terdapat kira-kira 53 kompaun penipuan di Kemboja di mana kumpulan jenayah terancang menjalankan pemerdagangan manusia, buruh paksa, buruh kanak-kanak, penyeksaan, perampasan kebebasan dan perhambaan, kata laporan itu. – AFP
