Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Seramai 2,695 anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara telah menerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan bagi Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung secara serentak di lapan buah lokasi, hari ini.
Majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) itu diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mentiri, Dewan Muhibah, Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, Dewan Kemasyarakatan Lambak, Jalan II, Kompleks Sukan Sungai Kebun, Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu, Dewan Serba guna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas serta Pusat Belia Bandar Seri Begawan.
Hadir menyampaikan derma anak yatim di Kompleks Sukan Sungai Kebun ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Mubashar H Khokhar.
Sementara penyerahan derma di Dewan Kemasyarakatan Mentiri, Dewan Muhibah, Dewan Kemasyarakatan Sengkurong, Dewan Kemasyarakatan Lambak, Jalan II, Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu, Dewan Serba guna Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas dan Pusat Belia Bandar Seri Begawan masing-masing telah disempurnakan oleh setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KKBS; pegawai Daerah Brunei dan Muara dan timbalan pengarah urusan I BIBD.
Majlis di kesemua lokasi telah dimulakan dengan bacaan tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat secara beramai-ramai sebelum acara penyampaian derma anak yatim dimulakan.



Penyerahan derma kepada pegawai Daerah Tutong, Belait dan Temburong juga telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan di Kompleks Sukan Sungai Kebun bagi anak-anak yatim yang berdaftar di Daerah Tutong, Belait dan Temburong.
Sumbangan-sumbangan yang diserahkan itu merupakan derma dari Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian JAPEM yang berjumlah $209,850, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara pula berjumlah $26,950 dan BIBD telah menyumbangkan sebanyak $209,850.
Sementara itu, kempen kutipan derma melalui SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim pada tahun 1441/2020 juga telah berjaya mengumpul dana sejumlah $350,824.
Kadar sumbangan yang dihulurkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui JAPEM adalah tertakluk kepada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai ke Tabung Anak-anak Yatim, JAPEM.
Sumbangan kewangan kepada Tabung Anak-anak Yatim bolehlah dihulurkan melalui Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran di JAPEM, Tingkat 2, KKBS, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, pada waktu pejabat atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) Brunei Prihatin bagi Tabung Anak Yatim yang telah bermula pada 8 April lalu bagi tempoh tiga bulan iaitu sehingga 8 Julai dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100.
Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan imagine hantar kepada 39999 atau menderma ke Tabung Anak-anak Yatim melalui BIBD secara online atau memasukkan derma ke nombor akaun Tabung Anak-anak Yatim 0000-101-004-9034.
Bagi orang ramai mempunyai pertanyaan dan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM di talian 2380704 semasa waktu pejabat atau menghubungi hotline JAPEM, Talian Helpline Kebajikan 141 atau Talian ANAK 121 pada bila-bila masa.
Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal yang mulia nanti selain meraih pahala yang berlipat ganda pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sekali gus mendapat keredaan daripada Allah SWT.