MOSCOW, 31 JAN – Ribuan penduduk membanjiri jalan di seluruh negara Rusia hari ini untuk menuntut pembebasan pemimpin pembangkang Alexei Navalny, meneruskan bantahan di seluruh negara yang mencetuskan kemarahan Kremlin. Lebih 2,700 orang ditahan oleh polis, menurut kumpulan pengawasan.
Pihak berkuasa Rusia telah melancarkan usaha besar-besaran untuk membendung tunjuk perasaan selepas puluhan ribu penduduk berkumpul di seluruh negara pada hujung minggu lalu dalam bantahan terbesar yang pernah dilihat Rusia dalam beberapa tahun ini.
Navalny, penyiasat antirasuah yang merupakan pengkritik paling lantang Presiden Vladimir Putin, ditahan pada 17 Januari sejurus pulang dari Jerman, di mana dia menghabiskan lima bulan menerima rawatan untuk keracunan ejen-saraf yang dipersalahkan ke atas Kremlin. Pihak berkuasa Rusia telah menolak tuduhan itu.
Hari ini, polis menahan lebih 2,000 orang dalam bantahan yang diadakan di bandar di seluruh 11 zon masa Rusia, menurut OVD-Info, kumpulan yang memantau penangkapan.
Di Moscow, pihak berkuasa memperkenalkan langkah keselamatan di pusat bandar, menutup stesen kereta api bawah tanah berdekatan Kremlin, memutuskan pengangkutan bas dan mengarahkan restoran dan kedai ditutup.
Kumpulan Navalny pada mulanya menggesa bantahan diadakan di Lubyanka Square di Moscow, tempat terletaknya ibu pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan. Selepas polis menutup kawasan di sekitar dataran, bantahan beralih ke satu lagi lokasi. Polis dihantar di tempat tersebut dan menahan sekurang-kurangnya 100 orang. – AP
