Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Tidak dapat dinafikan bahawa sejak Negara Brunei Darussalam menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19, peluang-peluang pekerjaan serta jaminan pekerjaan telah menjadi salah satu kebimbangan bagi para pekerja tempatan.
Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataannya menyatakan sesetengah pekerja bimbang jika gaji dan pekerjaan mereka akan terjejas disebabkan perniagaan syarikat yang terkesan oleh impak wabak COVID-19.
Sementara itu, bagi yang kehilangan pekerjaan pula, mereka ingin mengetahui sama ada terdapat peluang-peluang pekerjaan yang bersesuaian pada waktu mencabar ini.
Sejak penularan wabak COVID-19 pada 7 Ogos lalu, didapati beberapa buah syarikat terpaksa menangguhkan pengisian bagi 1,200 jawatan kosong yang awalnya telah dibukakan kepada anak tempatan sebelum penularan wabak.
Pada waktu yang sama, JobCentre Brunei (JCB) juga telah merekodkan lebih 1,700 peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan sejak penularan gelombang kedua COVID-19.
Secara keseluruhan, kini terdapat lebih 2,000 jawatan kosong yang mana daripada jumlah itu, sebanyak 150 kekosongan merupakan kekosongan i-Ready.
Jawatan-jawatan kosong itu dibukakan kepada pencari kerja tempatan yang mempunyai peringkat kelayakan dan pengalaman berbeza termasuk mereka yang mempunyai kelulusan akademik minimum dan juga bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang pengalaman kerja. Antara jenis jawatan yang diperlukan adalah scaffolders, engineering professionals (jurutera), pelayan, pembuat roti, dan pembantu dapur restoran atau kafe.
Selain daripada itu, sejak 7 Ogos lalu, seramai 354 orang anak tempatan telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui JCB yang mana ia termasuk individu yang mempunyai kelayakan TVET, sekolah menengah dan sekolah rendah.
Di samping itu, sebanyak 178 jawatan i-Ready juga telah berjaya diisikan oleh anak tempatan yang mana pada masa ini mereka sedang menjalani latihan di bawah program berkenaan.
JCB berperanan sebagai pusat kerjaya sehenti dan fasilitator kepada pencari kerja tempatan dengan memudah cara proses pemadanan dan proses pengambilan pekerja tempatan ke syarikat-syarikat swasta.
Antara perkhidmatan yang disediakan di JCB ialah perkhidmatan pemadanan pekerjaan proaktif di mana profil pencari kerja akan diteliti dan akan dipadankan dengan jawatan pekerjaan yang sesuai mengikut latar belakang dan pengalaman mereka, sesi penglibatan bersama para pencari kerja dan majikan seperti Mukim Connect, Institution Outreach dan Recruitment Drive, sesi latihan atau kemahiran bagi membantu pencari kerja meningkatkan kebolehpasaran mereka seperti penulisan CV dan tip temu duga serta menyediakan kemudahan bilik temu duga, auditorium, bilik serba guna dan collaborative space secara percuma.
JCB juga menyediakan permohonan bagi clearance letter untuk syarikat mendapatkan pekerja asing khusus bagi jawatan yang kekurangan bekalan tenaga kerja tempatan.
Semasa penularan wabak COVID-19, JCB juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu sebagai langkah alternatif untuk memudahkan orang ramai mengakses serta menggunakan portal JCB, khususnya bagi membantu anak-anak tempatan untuk mengisikan peluang pekerjaan sedia ada.
Antara inisiatif baharu itu ialah memperkenalkan perkhidmatan Express Registration sebagai cara alternatif untuk pencari kerja mendaftar ke JCB, memperkenalkan akaun Telegram JCB yang memboleh-kan pencari kerja tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan termasuk perkhidmatan yang ditawarkan JCB, sesi atas talian melalui Zoom bagi pencari kerja tempatan dan majikan serta mengadakan notifikasi lalui e-mel kepada pencari kerja tempatan dalam mengongsi mengenai maklumat jawatan yang bersesuaian dengan latar belakang dan kemahiran mereka.
Dalam hubungan itu, pihak JCB sangat mengalu-alukan para pencari kerja tempatan dan majikan untuk mendaftar ke portal JCB.
Sementara itu, kenyataan menjelaskan bahawa berikutan situasi penularan wabak COVID-19 pada masa ini, perkhidmatan kaunter JCB pada masa ini ditutup sementara sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kemudian.