Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 2,000 karton rokok dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Anggota Daerah Polis Temburong telah berjaya menemukan sejumlah 2,040 karton rokok pelbagai jenama dan dua suspek ditahan hasil operasi pencegahan jenayah serta sekatan jalan raya yang dikendalikan di kawasan Jalan Labu, Temburong.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), semasa operasi berkenaan, anggota polis telah menemukan sebuah kenderaan jenis van yang mencurigakan diletakkan di kawasan berdekatan dengan pusing keliling Jalan Labu. Apabila pemeriksaan dijalankan, van tersebut didapati dipenuhi dengan barangan tegahan berkenaan. Turut ditemui adalah peralatan-peralatan yang dipercayai digunakan bagi penyalahgunaan dadah.

    Hasil daripada pemeriksaan tersebut, dua orang suspek lelaki warga tempatan berusia sekitar 27 hingga 37 tahun ditahan bagi siasatan lanjut.

    Suspek berserta kenderaan dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar dan siasatan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan lanjut.

    Kenyataan menekankan, PPDB akan meningkatkan dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap sebarang kesalahan di bawah akta-akta yang telah diperuntukkan dalam operasi pencegahan jenayah dan sekatan jalan raya bagi mengekang sebarang gejala aktiviti dan perlakuan jenayah di negara ini.

    Pegawai PPDB ketika memperlihatkan rampasan rokok pelbagai jenama.
    Antara rokok yang dirampas semasa operasi pencegahan jenayah dan sekatan jalan raya yang dikendalikan di kawasan Jalan Labu, Temburong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda