BEIJING, 22 APRIL – Pembuat kereta mewah Itali Ferrari telah mengeluarkan pelan penarikan balik dengan pengawal selia China berhubung masalah brek dalam kenderaannya, menurut satu notis rasmi hari ini.
Penarikan balik itu menjejas 2,222 kenderaan disebabkan isu bendalir brek, kata notis oleh Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran China (SAMR).
Angka ini hampir bersamaan dengan jumlah kereta Ferrari yang dijual di China, Hong Kong dan Taiwan dalam tempoh tiga tahun lalu, berdasarkan laporan tahunan syarikat.
“Kenderaan yang terbabit dalam penarikan balik ini mungkin melihat risiko lebih tinggi kebocoran bendalir brek, membawa kepada prestasi membrek yang berkurangan atau kegagalan brek, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan,” kata SAMR.
Penarikan balik merangkumi sebahagian daripada siri kereta import 458 Italia, 458 Speciale, 458 Speciale A, 458 Spider, 488 GTB dan 488 Spider yang dikeluarkan di antara 2 Mac 2010 dan 12 Mac 2019, menurut badan pengawalan selia hari ini.
Ia menambah kenderaan berkenaan harus dipandu dengan hati-hati, dan harus berhenti serta-merta apabila lampu amaran paras bendalir brek rendah muncul.
Ferrari akan mengganti alat ganti kereta yang bermasalah secara percuma untuk kereta yang terbabit dalam pelan penarikan balik itu, menurut notis.
Penarikan balik akan bermula pada 30 Mei. – AFP