Monday, February 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20,000 terima kurnia peribadi

    Oleh Syahmi Hassan, Daniel Lim, Nurdiyanah R, Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani, Bahiyah Bakir, Adib Noor & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Hari Raya Aidilfitri akan lebih bermakna kepada 20,097 orang golongan tertentu di negara ini apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menganugerahkan kurnia peribadi.

    Golongan yang menerima kurnia peribadi Baginda terdiri daripada orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan bulanan bagi membantu golongan ini meraikan Aidilfitri dengan penuh kemeriahan. Majlis penyampaian kurnia diadakan dua hari di kesemua darah di negara ini bermula hari ini.

    Berangkat menyempurnakan pengurniaan kepada para penerima sebagai wakil peribadi Baginda Sultan secara serentak di keempat-empat daerah ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Daerah Brunei dan Muara; Duli Yang Teramat Mulia Paduka seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bagi Daerah Belait; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen bagi Daerah Tutong; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel bagi Daerah Temburong.

    Di Daerah Brunei dan Muara, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, telah menyampaikan kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyampaikan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada seramai 1,000 orang penerima.

    Terdahulu sebelum penyerahan kurnia peribadi Baginda, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Sementara itu, bagi Daerah Belait, sejumlah 1,000 penerima dari seluruh daerah telah berkumpul di Pusat Insani, Seria awal pagi lagi bagi menerima kurnia peribadi tersebut.

    Berkenan menyempurnakan penyampaian kurnia peribadi ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang dijunjung keberangkatannya oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Majlis penyampaian turut diserikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Arif Haji Johar bin Haji Muhammad sebelum penyampaian kurnia peribadi.

    Sejurus keberangkatan pulang Duli Yang Teramat Mulia, penerima lain juga menerima kurnia peribadi dan cenderamata yang berlarutan sehingga ke petang di kaunter-kaunter di pusat itu. 

    Dalam pada itu, 1,000 orang juga menerima kurnia peribadi di Daerah Tutong yang disempurnakan oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Bagi memberkati majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat telah dipimpin oleh Yang Arif Dato Seri Setia Haji Zaimi bin Haji Talip.

    Sehubungan itu, pada sesi petang hari ini turut diadakan penyerahan kurnia peribadi Baginda Sultan kepada 300 orang penerima di daerah tersebut. Sementara seramai 1,351 orang lagi akan menerima kurnia mereka esok hari bagi sesi pagi dan petang secara keseluruhannya.

    Sementara di Daerah Temburong pula, seramai 950 orang telah menerima kurnia peribadi daripada wakil peribadi Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel pada majlis yang berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan itu dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Majlis itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Arif Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

    Selain di daerah-daerah terbabit, penyampaian kurnia peribadi turut diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dan Dewan Bridex, Jerudong bagi Daerah Brunei dan Muara.

    Kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada golongan tertentu sempena Hari Raya Aidilfitri 1444Hijrah / 2023 Masihi ini mencerminkan pemedulian dan keprihatinan Baginda yang sentiasa memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, khususnya di kalangan golongan yang memerlukan bantuan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, berkenan menyampaikan kurnia peribadi KDYMM di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman.
    DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyampaikan kurnia peribadi KDYMM bertempat di Pusat Insani, Seria, kelmarin.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyampaikan kurnia peribadi KDYMM kepada salah seorang penerima di Daerah Tutong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan kurnia peribadi KDYMM di Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda