Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 20,000 terlibat sambutan HK-41

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Kira-kira 20,000 orang peserta yang terdiri daripada kalangan penuntut dan warga perkhidmatan awam akan terlibat dalam acara perbarisan dan persembahan padang semasa Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41), Tahun 2025 yang akan diadakan pada 23 Februari di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bermula pada pukul 9 pagi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakah titah perkenan untuk berangkat bercemar duli ke majlis-majlis utama
    sambutan.

    Perkara itu dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK-41, Tahun 2025 semasa sidang media di Kompleks Sukan Jerudong, KKBS.

    “Baginda akan berangkat ke Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun HK-41 pada 22 Februari dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien,” tambahnya.

    Majlis kesyukuran tersebut akan diadakan secara serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara. Di Daerah Belait, tumpuan utama adalah di Masjid Mohammad Jamalul Alam, manakala di Daerah Tutong adalah di Masjid Hassanal Bolkiah; dan di Daerah Temburong, tumpuan utama adalah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar bermula pada pukul 5:45 petang.

    Hajah Nor Ashikin semasa mengongsikan mengenai acara-acara utama, sampingan dan keraian serta persiapan-persiapan Sambutan Ulang Tahun HK-41, kelmarin. – GAMABR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang mengambil bahagian Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan, tahun lalu. Pada tahun ini, kira-kira 20,000 orang peserta akan terlibat dalam upacara perhimpunan agung tersebut. – GAMBAR OLEH AK MUHD AYADI BIN PENGIRAN HAJI YASMIN
    GAMABR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sementara itu, menyentuh mengenai latihan-latihan bagi acara perbarisan dan persembahan padang, Hajah Nor Ashikin mengongsikan bahawa dry run, camera rehearsal dan full dress rehearsal masing-masing akan diadakan pada 18, 19 dan 20 Februari.

    Perbarisan lalu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu Kumpulan A yang terdiri daripada Kepala Perbarisan, iaitu pembawa bendera besar, kumpulan pembaca ikrar dan takbir, dan pembawa bendera negara dan logo, pasukan beruniform kerajaan, pasukan kadet dan persatuan beruniform, pasukan beruniform lain, sektor awam, jabatan daerah dan badan berkanun. Kumpulan B pula terdiri daripada sektor pendidikan. Kumpulan C terdiri daripada persatuan belia dan umum, syarikat swasta, pasukan cemerlang dan 7 puak jati Brunei.

    Bagi persembahan, akan melibatkan tiga segmen iaitu persembahan pertama bertemakan Permata Bangsa, persembahan kedua adalah medley lagu-lagu patriotik manakala persembahan ketiga adalah Bersatu Mencapai Cita Negara.

    Di samping itu, beberapa acara sampingan akan diadakan antaranya Majlis Khatam Al-Quran 41 kali Khatam yang akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada 27 Februari.

    Sementara itu, Majlis Pengagihan Bendera Kecil dan Program Semarak Pengibaran Bendera akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah pada 13 Februari.

    Manakala Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam bagi menandakan bermulanya pengibaran bendera negara akan diadakan pada 15 Februari, pukul 8 pagi di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Bandar Seri Begawan.

    Upacara Menurunkan Bendera Besar pula akan diadakan pada 25 Februari di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan pada pukul 2 petang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda