YANGON, 15 NOV – Lebih 200,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di Myanmar selepas pakatan kumpulan etnik minoriti melancarkan serangan terhadap tentera bulan lepas, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Pertempuran semakin memuncak sejak 27 Oktober merentasi negeri Shan berhampiran sempadan China selepas Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA) melancarkan serangan ke atas pasukan tentera.
Perikatan itu telah menyekat laluan perdagangan penting ke China dan merampas hab sempadan dalam apa yang dikatakan penganalisis sebagai cabaran ketenteraan terbesar kepada junta sejak ia merampas kuasa pada 2021.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) berkata sehingga hari ini, ‘lebih 200,000 penduduk’ di seluruh negeri Shan, Chin, Kayah dan Mon serta wilayah Sagaing telah ‘dipindahkan secara paksa akibat pertempuran’.
Sekurang-kurangnya 75 orang awam termasuk kanak-kanak telah terbunuh dan 94 orang cedera dalam pertempuran itu, kata UNOCHA, memetik laporan awal dari lapangan.
Kedua-dua pihak telah menubuhkan pusat pemeriksaan di jalan yang mereka kuasai di negeri Shan dan komunikasi mudah alih yang masih terjejas di luar bandar utama Lashio, menghalang penghantaran bantuan, kata PBB.
Junta telah mengenakan undang-undang tentera di beberapa buah bandar di negeri itu, seterusnya menghalang usaha bantuan, tambahnya.
Keadaan wilayah terpencil itu yang berbukit dan diliputi hutan yang juga merupakan tempat saluran paip yang membekalkan minyak dan gas ke China dan komunikasi yang tidak teratur menyukarkan untuk mengesahkan jumlah mangsa. – AFP