LABUAN, 11 APRIL – Festival Flora Borneo (FFB) 2025 yang julung-julung kali bakal diadakan di Labuan pada 26 hingga 30 Julai ini akan menampilkan 20 taman pameran dengan lebih 200,000 pelbagai jenis tanaman dan pokok bunga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara dijangka menghadiri acara lima hari berkenaan, di samping usaha untuk menarik peserta dan pelancong dari Brunei ke festival berwarna-warni itu.
“Ia bukan sekadar keindahan bunga-bungaan, tetapi juga simbol kekayaan biodiversiti negara dan potensi peningkatan nilai tambah kepada industri hortikultur Malaysia,” katanya pada prapelancaran festival itu di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, hari ini.
Beliau berkata acara itu juga akan menghimpunkan peminat bunga, usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang disokong oleh rakan strategik utama termasuk hotel, sektor pengangkutan laut dan darat, agensi kerajaan, masyarakat tempatan dan media.
Dr Zaliha berkata kerajaan komited terhadap pembangunan inklusif dan mampan di Labuan, justeru festival tersebut merupakan inisiatif penting di bawah Pasukan Petugas Pelancongan Labuan.
“Walaupun Labuan terkenal dengan pantai dan kawasan menyelam, lebih banyak program menarik, seperti Festival Flora Borneo ini diperlukan untuk meningkatkan tarikan pelancongan di pulau ini,” katanya. – Bernama
