YANGON, 31 JULAI – Lebih 209,000 orang daripada lebih 50,000 isi rumah di Myanmar kehilangan tempat tinggal selepas banjir melanda negara itu sejak akhir Jun tahun ini, lapor Radio dan televisyen Myanmar (MRTV), semalam.
Laporan itu mengatakan bahawa Myanmar telah mengalami banjir, terutamanya disebabkan oleh hujan lebat dan kenaikan paras sungai, di 10 wilayah dan negeri.
Sebanyak 656 buah pusat bantuan telah didirikan untuk mangsa banjir di seluruh wilayah dan negeri ini, kata laporan itu, sambil menambah bahawa makanan, air minuman dan bekalan bantuan juga telah disediakan untuk mereka.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi negara itu, paras air sungai utama di beberapa buah bandar di wilayah Kayin, Ayeyarwady dan Bago masih berada di atas tanda amaran, hari ini.
