Lebih 21,000 terima kurnia peribadi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi Baginda kepada seramai 21,454 orang penerima di seluruh negara.

Para penerima terdiri daripada beberapa golongan iaitu orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, fakir miskin dan penerima bantuan kebajikan bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Kurnia peribadi Baginda yang merupakan kali ke-11 ini mula diagihkan hari ini.

Seramai 14,573 orang penerima bagi Daerah Brunei dan Muara, 2,990 orang penerima bagi Daerah Belait, 3,080 orang penerima bagi Daerah Tutong dan 811 orang penerima bagi Daerah Temburong. Memandangkan keadaan yang melanda negara pada masa ini dan demi menjaga keselamatan semua pihak daripada penularan wabak COVID-19, pengagihan kurnia peribadi Baginda tahun ini adalah berbeza dari tahun-tahun sebelumnya di mana pada tahun ini kurnia-kurnia peribadi berkenaan akan diserahkan terus kepada para penerima di tempat kediaman masing-masing di keempat-empat daerah.

Bagi tujuan tersebut, sebanyak 85 kumpulan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, pegawai-pegawai Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan sukarelawan di kalangan graduan yang sedang mencari pekerjaan akan terlibat bagi mengagihkan kurnia peribadi berkenaan, yang mana jumlah keseluruhan petugas adalah seramai 340 orang termasuklah juga penglibatan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Sehubungan itu, kerjasama bersepadu yang dirancang ini diharap akan membuahkan hasil khususnya dalam memastikan pengagihan kurnia peribadi ini akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur demi menanai amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Baginda Sultan bagi melihat golongan tertentu di negara ini tidak ketinggalan dari menerima bantuan Baginda sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.