Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Aplikasi BruHealth bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat yang mula digunakan kelmarin, 25 Mei telah menerima lebih 24,689 tempahan slot dengan 33 buah masjid merekodkan melebihi 50 peratus kapasiti yang dibenarkan, manakala 11 daripadanya mencatatkan lebih 80 peratus.
“Ia merupakan satu pencapaian baik yang menunjukkan penggunaan aplikasi BruHealth telah banyak digunakan oleh orang ramai,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengongsikan aplikasi BruHealth bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.
“Alhamdulillah ramai yang sudah mula mendaftar untuk membuat penempahan slot bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat nanti menerusi aplikasi BruHealth.
“Walau bagaimanapun masih terdapat banyak pengguna yang belum dapat memuat turun aplikasi BruHealth disebabkan oleh penggunaan Android dan IOS versi lama yang tidak sesuai dengan aplikasi BruHealth,” kongsi Yang Berhormat Dato.
Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa adanya usaha-usaha sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan mereka mendaftar masuk ke masjid-masjid.


Antara cara yang dapat digunakan pada masa ini ialah dengan menggunakan aplikasi web dengan melayari laman web www.healthinfo.gov.bn dan seterusnya mendaftarkan maklumat peribadi.
“Menerusi laman web tersebut, pengguna boleh terus memohon untuk sembahyang fardu Jumaat di ruang atau tab yang disediakan dan memilih masjid yang akan dikunjungi.
“Satu kod QR seterusnya akan dipaparkan untuk menunjukkan penerimaan sembahyang fardu Jumaat, kod QR yang diperolehi menerusi aplikasi BruHealth atau aplikasi web perlulah dipamerkan sebelum memasuki masjid,” ujarnya.
Yang Berhormat Dato juga mengingatkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian diri setiap hari sebelum dan selepas sembahyang fardu Jumaat nanti.
“Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berisiko tinggi yang telah ditentukan melalui aplikasi BruHealth, kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun dan perempuan adalah tidak dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat di masjid pada peringkat awal ini,” tekan beliau.
“Mana-mana individu yang gagal membuat tempahan untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat sama ada disebabkan oleh kesihatan atau tidak mendapatkan slot sembahyang fardu Jumaat adalah dinasihatkan untuk tidak hadir ke masjid bagi mengurangkan kesesakan masuk ke kawasan masjid dan sebagainya,” tegasnya lagi.
Pada sidang media yang sama, Yang Berhormat Dato memaklumkan bagi fasa seterusnya yang mana pihak kerajaan berusaha mempelbagaikan aplikasi BruHealth khususnya yang
memerlukan people engagement seperti di institusi-institusi pendidikan.
“Ini adalah selaras dengan langkah-langkah pengurangan (de-escalation) mengikut fasa-fasa yang dalam perancangan. Inilah hakikatnya norma baharu yang kita perlu menerima, untuk diadaptasi dan diamalkan,” ujar beliau.
Menurut Yang Berhormat Dato, ia memerlukan pendekatan whole of nation untuk mengatasinya dengan mengamalkan pengimbasan kod QR semasa masuk dan keluar premis untuk kesejahteraan bersama bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
“Alhamdulillah, setakat ini kita telah berjaya untuk flatten the curve.
Insya-Allah dengan usaha berterusan, kerajaan memperkenalkan langkah-langkah bagi menangani dan mengatasi pandemik COVID-19 dan sokongan padu daripada semua pihak, kita akan dapat meneruskan kehidupan seharian kita dengan selamat dan terpelihara daripada wabak ini,” tambahnya.