THAILAND, 12 FEB – Lebih 250 orang yang diselamatkan dari pusat penipuan dalam talian di Myanmar telah diserahkan kepada Thailand hari ini, kata seorang pegawai kanan tentera Thai, berikutan beberapa siri tindakan keras terhadap kegiatan haram itu.
Kegiatan penipuan telah berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan dikendalikan oleh warga asing yang sering diperdagangkan dan dipaksa bekerja, menipu rakan senegara mereka dalam industri yang menurut penganalisis bernilai berbilion dolar.
Kumpulan yang dibebaskan hari ini telah bekerja di pusat penipuan di Kyauk Khet, sebuah kampung di negeri Kayin di sepanjang sempadan Thai-Myanmar, menurut Tentera Demokratik Karen Buddha (DKBA), sebuah kumpulan bersenjata Myanmar yang mengawal kawasan itu.
Selepas dibawa dengan bot menyeberangi sungai kecil sempadan, mereka diturunkan di Phop Phra, kira-kira 30 kilometer ke selatan Mae Sot di sebelah sempadan Thai, kata wartawan AFP.
“Pada masa ini terdapat 261 orang, tetapi jumlah akhir masih belum disahkan,” kata seorang Komander Tentera di Mae Sot, Natthakorn Rueantip.
Kegiatan penipuan dalam talian sering mempengaruhi masyarakat di rantau itu dengan menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi tetapi kemudiannya menahan mereka sebagai tebusan dan memaksa untuk melakukan penipuan dalam talian.
Dalam usaha untuk membendung kegiatan haram itu yang turut dikaitkan dengan penyeludupan dadah dan perjudian pihak berkuasa dan kumpulan tentera di Myanmar serta Thailand telah membuat serbuan ke atas pusat berkenaan sebelum melepaskan dan menghantar pulang warga asing di dalamnya.
Pegawai Thai berkata pusat Kyauk Khet pertama kali diwujudkan di seberang Sungai Moei pada 2019 dan masih dalam pembinaan. – AFP
