BANGKOK, 23 JAN – Lebih 250 sekolah di Bangkok terpaksa ditutup hari ini akibat pencemaran udara yang semakin buruk, menurut pihak berkuasa tempatan, yang turut menggesa penduduk bekerja dari rumah dan mengehadkan kenderaan berat di bandar itu.
Pencemaran udara bermusim telah lama menjadi masalah di Thailand, sama seperti negara-negara lain di rantau ini, apabila udara pada musim sejuk lebih sejuk dengan campuran asap dari pembakaran tanaman dan asap kenderaan.
Pagi tadi, ibu kota Thailand disenaraikan sebagai bandar keenam paling tercemar di dunia oleh IQAir.
Tahap zarah halus PM2.5 mikrozarah penyebab kanser yang cukup kecil untuk memasuki aliran darah melalui paru-paru mencecah 122 mikrogram setiap meter padu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pendedahan purata 24 jam tidak melebihi 15 mikrogram untuk kebanyakan hari dalam setahun.
Awal minggu ini, pihak berkuasa Bangkok memberi kelonggaran kepada sekolah-sekolah di kawasan yang mencatatkan tahap PM2.5 tinggi untuk memilih sama ada mahu menutup operasi.
Menjelang pagi tadi, 194 daripada 437 sekolah di bawah pentadbiran Bangkok Metropolitan Authority (BMA) telah ditutup dan menjejaskan ribuan pelajar.
Sekolah-sekolah itu merangkumi tadika hingga sekolah menengah, dengan tempoh penutupan antara sehari hingga seminggu.
Puluhan sekolah lain yang tidak berada di bawah pentadbiran BMA tidak termasuk dalam statistik tersebut.
Jumlah itu merupakan penutupan sekolah terbesar sejak tahun 2020, apabila semua sekolah di bawah BMA ditutup akibat pencemaran udara.
Kanak-kanak amat terdedah kepada kesan pencemaran udara, tetapi penyokong hak asasi memberi amaran bahawa penutupan secara tidak seimbang memberi kesan kepada pelajar yang paling terdedah. – AFP