TOKYO, 11 OGOS – Pihak berkuasa Jepun hari ini menggesa penduduk berpindah dari kediaman masing-masing selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di wilayah barat daya negara itu, meninggalkan beberapa orang hilang.
Rakaman televisyen dari pelbagai kawasan di wilayah Kumamoto menunjukkan rumah, kedai dan kenderaan tenggelam dalam air sedalam kira-kira satu meter.
Air sungai yang melimpah turut menghanyutkan kenderaan dan merosakkan jalan raya.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, hujan turun lebih daripada 40 sentimeter dalam tempoh 12 jam di bandar paling teruk terjejas Tamana di wilayah Kumamoto iaitu rekod tertinggi bagi kawasan itu.
Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun awal pagi tadi berkata arahan dan amaran pemindahan sudah dikeluarkan kepada lebih tiga juta penduduk di wilayah barat daya negara itu.
Walaupun amaran paling teruk telah ditarik balik di semua kawasan, amaran peringkat rendah termasuk beberapa amaran pemindahan kekal pada waktu petang.
Walaupun hujan lebat di Kumamoto telah reda, hujan aktif masih boleh menjejas kawasan lain di Jepun pada bila-bila masa, Shuichi Tachihara, ketua ramalan di JMA, memberitahu sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.
Media tempatan berkata petang tadi, pekerja kecemasan mendapati seorang tidak sedarkan diri di bandar Kosa di Kumamoto, berhampiran tempat di mana seorang lelaki telah hilang awal pagi tadi. – AFP


