Sunday, February 2, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih $3 juta untuk naik taraf Penjara Maraburong, Jerudong

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Peruntukan sebanyak $3.768 juta telah diluluskan untuk membiayai kerja-kerja menaik taraf dan pemeliharaan bangunan di Penjara Maraburong Fasa 1 dan Fasa 3, untuk memperkukuhkan lagi sistem kawalan dan keselamatan di institusi penjara dan Penjara Jerudong.

    Ini juga termasuk pemasangan sistem CCTV yang mana tawaran bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan telah pun dibukakan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman mengongsikan perkara itu semasa menyampaikan mukadimah pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, dalam usaha mengurangkan jumlah residivisme atau kemasukan semula dalam kalangan banduan, Jabatan Penjara secara berterusan telah menyediakan dan melaksanakan beberapa program termasuk latihan kemahiran vokasional.

    Ini adalah sebagai usaha memberikan banduan kemahiran dalam membantu mereka mempersiapkan diri apabila bebas nanti.

    Beliau turut menekankan, sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat adalah sangat penting dalam membantu golongan ini untuk mengukuhkan jati diri di samping memberikan pekerjaan atau menyokong perniagaan mereka sebagai sumber pendapatan, dan memberikan bimbingan serta motivasi supaya tidak terpengaruh semula untuk melakukan kesalahan.

    Selain memberikan program semasa menjalani tahanan, jabatan itu juga membukakan secara sukarela kepada bekas banduan yang ingin untuk mengikuti program-program di bawah Perkhidmatan Seliaan yang dikendalikan oleh Bahagian Reintegrasi, Jabatan Penjara dengan kerjasama Jawatankuasa Aftercare (AFSA) bersama-sama dengan agensi-agensi yang berkepentingan.

    Sejak 2018 sehingga sekarang, sebanyak 82 pihak berkepentingan telah ikut serta dalam menjayakan program-program Aftercare.

    Ini adalah usaha sama Jabatan Penjara dengan 14 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 68 buah syarikat swasta untuk membantu Rakan Seliaan dalam pengintegrasian masyarakat atau komuniti melalui program-program yang disediakan.

    Peruntukan sebanyak $3.768 juta telah diluluskan untuk membiayai kerja-kerja menaik taraf dan pemuliharaan bangunan di Penjara Maraburong dan Penjara Jerudong.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda